selamat datang

Khamis, 11 Februari 2016

JENDELA MENGHADAP JALAN


o   PLOT 

o   Permulaan
·          Lili pulang ke kampung datuknya di Dungun, Terengganu dengan menaiki bas.  Walaupun dia tidak gembira dengan percutiannya pada kali ini, namun dia ikutkan sahaja kehendak ibunya supaya ibunya tidak berasa kecil hati.
·          Dalam perjalanan ke Dungun, Lili bertemu Danel dan juga Geetha dalam bas.
·          Rumah datuk dan nenek Lili di Pekan Sentosa sungguh nyaman, cantik dan dipenuhi dengan bendang.

o   Perkembangan
·          Datuk menghadapi situasi getir di kampung akibat penggantian kubah surau.
·          Kekalutan turut timbul apabila Sugi dikatakan memujuk orang kampung untuk menjual tanah bagi pembinaan kawasan perumahan di kampung datuk.
·          Datuk didatangi oleh orang dari bandar untuk mendapatkan rawatan secara tradisional.
·          Geetha memaklumkan kepada Lili bahawa datuknya telah Berjaya menyembuhkan ibunya Latchumi yang sakit dengan menggunakan herba tradisional.
·          Danel sering datang untuk membantu nenek memasak kerana menganggap nenek seorang yang pandai memasak dan masakan nenek sangat sedap.
·          Danel berbual mesra dengan datuk dan menerangkan kepentingan perubatan moden. Namun cara Danel yang berhemah dapat memastikan bahawa datuk tidak berkecil hati.
·          Danel sering menulis artikel tentang pisang.
·          Lili diculik oleh anak-anak Che Jah, namun Berjaya diselamatkan oleh Danel.

o   Konflik
o   Konflik dengan diri sendiri
·          Datuk berhasrat untuk tidak lagi mencari akar-akar kayu akibat sindiran nenek namun minatnya tetap dengan perubatan tradisional menyebabkan datuk keliru.

o   Konflik dengan orang lain
·          Datuk berasa terkesan apabila nenek selalu menyindir akan sikapnya yang lebih mengutamakan perubatan tradisional berbanding perubatan moden.
·          Che Jah berasa sangat kecewa dengan sikap suaminya Seman yang melakukan keganasan dengan memukul anak-anaknya Haziq dan Rafiq sehingga cedera. Oleh sebab tidak tahan dengan tindakan suaminya yang sering mengecewakan itu Che Jah minta diceraikan.
·          Lili berkonflik terhadap permintaan ibunya supaya dia tinggal di kampung setelah tamat persekolahannya. Namun, Lili tidak gembira dengan permintaan ibunya itu tetapi demi kegembiraan hati ibunya, permintaan ibunya itu dituruti.

o   Klimaks / Puncak
·          Che Jah memaklumkan bahawa suaminyalah yang melarikan kubah surau. Selama ini penduduk kampung menuduh Haziq dan Rafiq, namun telahan mereka tersasar.

o   Peleraian
·          Che Jah dicadangkan oleh Kak Hamimah supaya membuat laporan polis supaya suaminya itu dapat diberkas dan dipulihkan.
·          Suami Che Jah ditangkap di belakang pondok dusun.
·          Haziq diberi herba sebagai penawar oleh datuk.
·          Rafiq dihantat ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
·          Sugi tidak mengaku ada kaitan dengan wakil pemaju perumahan yang memujuk penduduk kampung menjualkan tanah mereka.
·          Datuk dituduh melindungi anak-anak Che Jah yang menculik Lili.
·          Sugi memaklumkan bahawa dia berhasrat memajukan tanah penduduk kampung dengan projek agripolitan dan penanaman Jatropha Cuncas.
·          Ibu pulang menaiki bas tanpa ayah. Lili pulang ke Kuala Lumpur untuk menghadiri majlis perpisahan pengetuanya.
·          Haziq dan Rafiz kembali semula ke sekolah untuk menduduki PMR.


credit to : cuit-cuit bahasa

JENDELA MENGHADAP JALAN

TEMA DAN PERSOALAN

Tema
Tema novel ini perjuangan golongan tua dalam masyarakat Melayu tradisional menegakkan pengamalan ubat-ubatan tradisional bagi menyembuhkan sebarang penyakit. Penggunaan herba-herba dapat mengubati semua penyakit yang dihidapi dengan cara mengamalkan pemakanannya, bukan sahaja sesuai kepada penduduk kampung juga kepada penduduk seperti Puan Hamimah yang menghadapi masalah gout. Khasiat herba tersebut boleh menjamin kesejahteraan hidup walaupun sebahagian kecil generasi moden menyangkal kemujarabannya. Herba-herba ini bukan sahaja dimakan oleh masyarakat Melayu, malah masyarakat lain juga mempercayainya. Herba-herba tradisional boleh digunakan sebagai petua dalam amalan seharian malah dianggap dapat menyembuhkan penyakit berat iaitu ketagihan dadah seperti Haziq diberikan herba sebagai penawar.

Persoalan
1. Persoalan Masalah Kepincangan Rumah Tangga- seperti yang dihadapi oleh Che Jah dengan suaminya, Seman yang selalu memukul anak-anak serta menderanya. Seman suami Che Jah seorang yang suka berjudi, berhutang dan minum arak telah menyebabkan rumah tangga Che Jah berantakan. Anak-anaknya Haziq dan Rafiq yang baru belasan tahun turut berperangai seperti ayahnya apabila tersalah memilih kawan. Che Jah meminta cerai daripada suaminya kerana sudah tidak tahan dengan perangai suaminya.

2. Persoalan Keagamaan – Dalam perjuangan membina kubah surau di kampung dalam menegakkan syiar Islam. Penduduk sanggup menolak peruntukan dari Yang Berhormat untuk membina sebuah balai raya tetapi bersetuju untuk membina kubah surau bagi tujuan keagamaan.

3. Persoalan Persahabatan – Persahabatan antara Lili dengan Geetha yang begitu akrab walaupun berlainan agama dan bangsa.

4. Persoalan Perpaduan Antara Kaum – Perpaduan kaum menjadi baik seperti adanya hubungan kemesraan yang terjalin antara masyarakat Melayu, Cina dan India. Mereka hidup aman damai tanpa perbalahan, malah hubungan kaum ini begitu rapat antara keluarga Geetha dan Lili. Geetha pernah bermalam di rumah Lili kerana hubungan yang sangat mesra dan rapat.

5. Persoalan Menuntut Ilmu Pengetahuan – Geetha merupakan seorang mahasiswa yang rajin menuntut ilmu, juga merupakan seorang pelajar tahun satu Jurusan Kejuteraan Awam, Universiti Malaya, begitu juga Lili yang berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.

6. Persoalan Golongan Muda Yang Terjebak Masalah Dadah – Haziq dan Rafiq yang terjerumus ke dalam kancah ketagihan dadah akibat masalah keluarga yang dihadapi. Tertekan dengan masalah keluarga kerana ayahnya Seman begitu garang dan sering memukul anak-anaknya sehingga menyebabkan hidup mereka tertekan. Mereka mengambil jalan mudah dengan melibatkan diri dalam kancah ketagihan dadah.

7. Persoalan Hubungan Kekeluargaan Antara Anak dan Ibu Bapa – Ibu Lili tidak berminat untuk menghabiskan masanya di kampung, tetapi menghantar Lili ke kampung sepanjang cuti persekolahan. Ibu Lili melanjutkan pelajaran keluar negara, terdedah dengan dunia Barat sehingga mengganggap kampung terlalu jumud.  Ibu Lili juga terlalu jarang pulang ke kampung untuk menjenguk kedua-dua ibu bapanya, menyebabkan hubungannya menjadi renggang.

8. Persoalan Hubungan Manusia Dengan Alam Sekitar – Hubungan antara manusia dengan alam sekitar seperti datuk sangat mengambil berat tentang herba-herba yang banyak memberi jasa kepadanya. Datuk mengenali semua herba yang boleh dijadikan ubat-ubatan. Datuk sering disindir oleh nenek akibat terlalu prihatin dan membantu penduduk kampung yang bermasalah kesihatan dengan membekalkan ubat tradisional yang dibuatnya sendiri. Ada satu ketika datuk tidak pulang ke rumah hingga menyebabkan nenek berasa risau kerana datuk masuk ke hutan mencari akar-akar kayu tanpa pengetahuannya.

9. Persoalan Suka Fitnah Memfitnah Dalam Masyarakat – Masyarakat Melayu yang suka membuat fitnah antara satu sama lain, yang menyebabkan keretakan dalam masyarakat akhirnya membawa perpecahan. Cerita kubah dilarikan orang oleh beberapa wanita mengesyaki angkara ini sudah pasti dilakukan oleh anak-anak Che Jah yang telah terkenal dengan kejahatan lampaunya. Lili menenangkan keadaan dan meminta agar mereka tidak membuat tuduhan melulu yang tiada kepastiannya.

10. Persoalan tentang sikap prihatin - Lili begitu prihatin dengan Che Jah yang mengalami keganasan rumah tangga. Walaupun Haziq dan Rafiq menculiknya tetapi Lili memaafkan tindakan mereka kerana beranggapan keluarga tersebut memerlukan bantuan pemulihan. Lili sering ke rumah Che Jah untuk memberikan motivasi dan akhirnya meminta bantuan Puan Hamimah seorang kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membuat aduan tentang sikap suaminya yang buruk selama ini.

11. Persoalan tentang masalah sosial penduduk kampung - Hidup di kampung walaupun berada dalam keadaan selesa, nyaman dengan pemandangan yang cantik namun terdapat pelbagai masalah sosial. Penduduk kampung didatangi oleh orang yang tidak bertanggungjawab untuk menjual tanah-tanah mereka. Penduduk kampung juga memberontak untuk lebih menyetujui penggantian kubah surau berbanding pembinaan masjid baru. Penduduk kampung juga berhadapan dengan masalah sosial apabila wujudnya keganasan rumah tangga yang dihadapi oleh Che Jah akan sikap suaminya yang kurang bertanggungjawab diikuti kelakuan anak-anaknya Haziq dan Rafiq yang tersalah memilih kawan.

credit to : cuit-cuit bahasa



JENDELA MENGHADAP JALAN

SINOPSIS (BAB 1 hingga BAB 36)

Bab Satu (1).
Lili yang akan tamat persekolahan menengahnya, bercadang untuk menghabiskan cuti di kampung datuk dan neneknya dalam Daerah Dungun, Terengganu. Sebenarnya perasaan Lili tidak gembira untuk pulang bercuti ke kampung, namun terpaksa berpura-pura demi menjaga hati ibunya.

Bab Dua (2).
Perjalanan pulang ke kampung dihantar oleh ayah ke perhentian bas ekspres dengan mengandang dua buah beg pakaian. Lili berpakaian tebal ketika itu kerana musim tengkujuh. Dari Kuala Lumpur ke kampung datuk neneknya mengambil masa selama lapan jam perjalanan. Di dalam bas Lili sibuk membaca buku Panduan Pemakanan Sihat Melalui Sayur-sayuran dan Buah-buahan. Lili berkenalan dengan seorang pelajar tahun satu Jurusan Kejuteraan Awam, Universiti Malaya yang bernama Geetha juga ingin menuju ke daerah yang sama. Mereka bersembang tentang masa depan. Lili menyedari bahawa dia sedang diperhatikan oleh seorang pemuda Cina atau kacukan.

Bab Tiga (3).
Geetha telah turun di Pekan Sejahtera lebih awal sebelum sampai ke Pekan Sentosa. Lili sedang menunggu Abang Rashid untuk mengambilnya pulang. Dalam kesibukan Lili disapa semula oleh pemuda tersebut kerana tertinggal buku penjagaan kesihatannya. Pemuda itu mempelawanya untuk tumpang sama, tetapi Lili menolak pelawaan itu kerana dia sedang menunggu Abang Rashid untuk pulang.

Bab Empat (4).
Lili melihat keindahan kampung yang nyaman dan begitu damai dengan sawah bendang luas terbentang. Lili bertemu dengan nenek di bendang, lalu bersalaman dan bertanya khabar. Menurut nenek datuk sibuk dengan urusan gotong-royong menaikkan kubah masjid kampung bersama-sama dengan masyarakat kampung.

Bab Lima (5).
Datuk bercerita tentang keunikan reka corak jendela dan pintu. Sepanjang malam pula datuk begitu pakar bercerita kemujaraban akar-akar kayu ubat yang dapat menyembuhkan penyakit secara tradisional. Menurut datuk, khasiat tumbuh-tumbuhan lain juga menjadi amalan penduduk-penduduk kampung dalam pemakanan dan pengubatan tradisional, malah pihak hospital juga menggunakan herba sebagai bahan untuk mengubat penyakit. Tetapi nenek menegur datuk supaya tidak mempengaruhi segala pendapatnya berkaitan dengan pengubatan tradisional yang belum tentu kepastiannya.

Bab Enam (6).
Ketika kedengaran bunyi hujan turun, nenek mengarahkan Lili menutup semua cermin yang terdapat di dalam rumah dengan kain sarung bertujuan untuk terbalikkan mata kilat. Kemudian nenek membakar kulit bawang putih pemberian perempuan berbangsa India, Letchumi, supaya isi rumah berbau wangi. Ibu Lili pula lebih suka seni taman ala Bali, yang dipenuhi reka bentuk dan tumbuh-tumbuhan yang mempunyai ciri-ciri keselamatan, tahan lasak dan menghalau nyamuk. Manakala, di halaman rumah, ditanam dengan herba pembuka selera makan. Masyarakat kampung lebih gemar berurusan dengan datuk apabila berdepan dengan masalah kesihatan dan menjadi kepercayaan serta sumber rujukan.

Bab Tujuh (7).
Nenek membawa Lili ke kedai runcit Letchumi dan terserempak dengan Geetha. Lili tidak menyangka bahawa selama ini, neneknya begitu akhrab dengan ibu Geetha. Menurut Geetha, ibunya merupakan pelanggan setia mengamalkan minuman herba buatan datuknya yang telah berjaya menyembuhkan penyakit ibunya yang sebelum ini sakit teruk. Walaupun ketika ini saiz badan ibunya terlalu gemuk, tetapi kelihatan begitu sihat. Geetha menasihati Lili supaya mempelajari ilmu penyediaan herba dan rawatan tradisional dari datuknya yang begitu terkenal di Pekan Sentosa ini. Lili merasa bangga kerana mendapat penghargaan atas kepakaran datuknya dalam ilmu pengubatan tradisional, apatah lagi yang memujinya bukanlah sebangsa dengannya.

Bab Lapan (8).
Datuk banyak mengajar Lili berkaitan dengan ilmu keagamaan, malah datuk selalu menguji Lili tentang ilmu-ilmu keagamaan yang selama ini Lili tidak mengetahuinya. Datuk mengakui bahawa ibu Lili tidak kisah dengan ilmu-ilmu keagamaan adalah berpunca daripada kesilapannya. Semasa zaman kanak-kanak ibu Lili lebih berminat belajar silat di gelanggang Tuk Wali berbanding ilmu agama. Tambahan pula setelah berjaya melanjutkan pelajaran keluar negara, menjawat jawatan penting dan berumah tangga sehingga terlupa segala-galanya. Sepanjang berada di kampung Lili merasa keenakan buah-buahan tempatan yang terdapat di dusun yang dikutip oleh Abang Rashid. Pak Sahak datang ke rumah datuk memaklumkan bahawa berlaku kekecohan di surau kerana William cuba dipengaruhi penduduk-penduduk kampung supaya tidak mempercayai pengubatan tradisional disamping memujuk supaya menjualkan tanah bagi tujuan membina rumah sewa.

Bab Sembilan (9).
Danel anak bongsu William Ng berkunjung ke rumah datuk untuk menjelaskan isu yang hangat dibincangkan oleh masyarakat kampung berkaitan pembinaan kubah surau. Wakil Rakyat telah memberi pilihan sama ada ingin membina sebuah dewan masyarakat atau mendirikan sebuah masjid.. Kebanyakan penduduk kampung memilih untuk membina kubah surau berbanding membina sebuah masjid kerana masalah kekurangan tanah. Disamping itu juga, Danel telah menjelaskan kebaikan mendapatkan rawatan moden berbanding dengan rawatan tradisional. Hujah-hujah telah dikemukakan oleh Danel dari segi sains perubatan untuk menyakinkan penduduk-penduduk kampung termasuk datuk, walaupun datuk sukar untuk menerima hakikatnya. Memang kaedah perubatan tradisional baik jika digabungkan dengan kaedah perubatan moden, kerana semua bahan-bahan ramuan tradisional diawet dalam bentuk moden supaya penggunaannya lebih selamat dan terjamin mengikut kaedah saintifik. Danel terpaksa berhujah secara berhemah demi menjaga hati datuk agar tidak terguris.

Bab 10.
Datuk tetap sayang akan pekerjaannya sebagai pengubat tradisional, kerana masih ramai penduduk yang percaya dengan rawatan tersebut termasuk ibu Geetha. Hati datuk tersentuh dengan penerangan yang diberikan oleh Danel, walaupun hujah-hujah yang diberikan itu belum tentu dapat menyakinkannya. Jangkaan Datuk juga kuat mengatakan William juga tidak dapat menerima penerangan yang diberikan oleh Danel. Jika dahulu semua kata-kata datuk boleh diterima pakai oleh penduduk-peenduduk kampung termasuk William, malah Berjaya mengislamkannya, tetapi kini tidak lagi. Nenek pula sekarang sudah mula menyindir dan menidakkan kata-kata datuk. Sugi anak sulung William pula telah menggalakkan pemaju datang untuk membangunkan tanah penduduk-penduduk kampung, yang akhirnya berlaku pertelagahan antara penduduk sama ada mahu menjual tanah atau sebaliknya.

Bab 11.
Sebelum solat, datuk tercari-cari tasbihnya yang hilang entah ke mana, namun sebaik sahaja masuk waktu datuk bersolat dan berzikir tanpa menggunakan tasbih. Selepas itu datuk membaca kitab dua halaman dan berhenti. Dengan linangan air mata yang tidak bertakung, tanda menahan kesedihan dalam mengharung segala dugaan kehidupan. Usia datuk kini sudah mencapai lebih tujuh puluh tahun. Datuk menyuruh Lili ke dapur supaya nenek membuatkan secawan kopi untuknya. Tanpa berlengah Lili akur dengan arahan datuk dan terus ke dapur. Nenek membawa secawan kopi untuk datuk. Apabila melihatkan ada sesuatu yang ingin dibincangkan antara datuk dan nenek, Lili mohon izin keluar, tetapi datuk terus memanggilnya. Lili duduk semula dan datuk meminta Lili menceritakan tentang ibunya. Lili terus bercerita, namun berdasarkan soalan-soalan yang datuk kemukakan, jelaslah bahawa terlalu banyak rahsia hidup ibu yang Lili tidak ketahui.

Bab 12.
Isu kubah surau menjadi perbualan hangat antara penduduk-penduduk kampung. Sama ada ingin mendirikan masjid atau membina kubah surau lama telah menyebabkan penduduk-penduduk kampung hidup berpuak-puak. Bekas ketua kampung, iaitu arwah Haji Salihin merupakan orang alim di kampung ini, juga berasal dari tanah Jawa Barat bersama-sama membangunkan surau lama ini, telah berpesan bahawa surau lama ini tidak boleh dibangunkan kerana bimbang kesannya akan mengganggu ketenteraman kampung. Mengikut pendapat nenek itu hanyalah kepercayaan yang tiada penghujungnya dan ada alasannya yang tersendiri. Ketika Lili meniti bendang untuk menemui nenek, dia ternampak seorang lelaki mengepit seekor ayam jantan dan seorang lagi mengepit seekor ayam betina. Abang Rashid telah menasihatinya supaya balik ke rumah kerana keadaan kampung begitu tegang. Tiba-tiba muncul sekumpulan lelaki tua melaung-laung dan bertakbir serta menghalang mereka melakukan perkara-perkara haram dan pengkhianat. Berlakulah kejar-mengejar antara kumpulan tersebut. Abang Rashid terus menghantar Lili pulang ke rumah kerana bimbangkan keselamatannya. Sebaik-baik sahaja sampai ke rumah Lili ternampak ada tetamu datang yang terdiri daripada empat orang lelaki dan seorang perempuan.

Bab 13.
Menurut cerita nenek, kelima-lima orang yang datang itu adalah berasal dari Kuala Lumpur. Mereka datang hanya ingin memberitahu bahawa sakitnya lebih awal sembuh daripada menggunakan herba yang datuk berikan. Lili ke anjung bertemu dengan datuk. Datuk memberitahu Lili mulai sekarang datuk hanya akan menumpukan tugas-tugasnya berkebun dan berperahu, tidak boleh bergantung hidup dengan herba-herba lagi. Pada sebelah malamnya, datuk menyusun kayu-kayu api di bangsal belakang rumah untuk menenangkan fikirannya. Keesokan harinya datuk menyusun barang-barang lama yang bertaburan di lantai dan bekerja tanpa henti-henti. Pada sebelah petangnya Lili memohon kebenaran nenek untuk ke rumah Geetha, dengan ditemani Abang Rashid, tetapi memandangkan sudah senja, Lili membatalkan niatnya, tetapi terus bersama-sama Abang Rashid ke pekan. Semasa berjalan-jalan Lili sempat bertanyakan Abang Rashid tentang zaman bujangnya dan bilakah Abang Rashid akan berkahwin? Soalan itu tidak berjawab.


Bab 14.
Lili berjumpa dengan Geetha di rumahnya, dan Geetha menyatakan rasa bosannya kerana tiada kawan. Lili mempelawa Geetha untuk bermalam di rumah neneknya, Geetha setuju. Setelah mendapat kebenaran daripada ibu Geetha, mereka bertolak menuju ke perhentian bas. Lili berharap mereka akan sampai ke rumah neneknya sebelum waktu zohor, tetapi mereka merancang untuk pergi bersiar-siar di perkampungan pada sebelah petang. Mereka tertarik dengan keindahan kampung tersebut dengan mendaki bukit, tempat melihat matahari terbit dan terbenam, suatu keunikan. Geetha bercerita tentang budaya masyarakat India yang tinggal berjiran dengannya, terdapat pelbagai karenah dan ragam hidup.

Bab 15.
Geetha dan Lili menolong nenek masak di dapur sambil bersembang kosong. Geetha memberitahu nenek bahawa tekanan darah dan kandungan gula dalam badan ibunya stabil kerana memakan herba dan rebusan akar-akar kayu. Nenek gembira dengan khabaran tersebut. Datuk masih lagi belum pulang ke rumah menyebabkan nenek berasa risau. Abang Rashid telah pergi mencari datuk dengan menolak basikalnya dalam kegelapan malam. Keesokan paginya datuk pulang ke rumah dengan dileteri nenek, dan di tepi dinding terdapat dua buah bakul berisi akar-akar kayu dan daun-daun hutan.

Bab 16.
Datuk bercerita dengan nenek pengalamannya mencari bahan-bahan untuk dijadikan herba di hutan tanpa kepenatan dan keletihan. Tetiba sahaja Danel muncul dengan membawa buah-buahan dan makanan lalu diberikan kepada nenek. Datuk menyambut kedatangan Danel seperti biasa seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku sebelum ini. Manakala, Geetha dan Lili menyiapkan minuman kepada tetamu yang datang. Mereka bercerita tentang Danel yang kali pertama bertemu di dalam bas yang sama dinaiki oleh Lili dan Geetha sewaktu pulang ke kampung. Geetha memohon untuk balik kerana telah berjanji kepada ibunya bahawa dia hanya dibenarkan bermalam semalam sahaja di rumah nenek Lili. Sebelum Geetha dihantar pulang, nenek berpesan kepada Lili supaya pergi ke kedai Ah Kwan untuk membeli barang-barang keperluan dapur. Dalam perjalanan pulang Lili, terserempak dengan adengan kejar-mengejar beberapa orang pemuda yang bersenjatakan parang. Lili mungkin kenal pemuda-pemuda tersebut dan mereka pernah datang ke rumah nenek dulu. Sebaik sahaja tiba di rumah, Lili terkejut apabila melihat Danel dalam keadaan meniarap sedang diurut oleh Datuk. Sebenarnya menurut kata nenek, semenjak kebelakangan ini hubungan datuk dengan Danel begitu baik. Danel kini lebih gemar menulis artikel berkaitan buah-buahan terutamanya pisang.

Bab 17.
Dalam artikel Danel yang berjudul Segala Tentang Pisang telah menghuraikan secara panjang lebar berkaitan produk pisang di Tenom, Sabah. Penanaman pisang secara besar-besaran di Sabah telah berjaya di eksport keluar negeri. Pendapatan lumayan ini juga dibantu dengan tanaman sampingan lain seperti buah-buahan, getah dan kelapa sawit. Hasil pertanian ini telah berjaya memberi pulangan tinggi kepada peladang dan hidup mewah. Mengikut kajian perubatan, pisang bukan sahaja dapat mendatangkan pulangan yang tinggi, malah boleh menghasilkan tenaga segera kepada tubuh badan disamping boleh menyembuhkan pelbagai penyakit jika pengambilannya seimbang. Kulit pisang pula boleh menyembuhkan bintat dan rasa gatal akibat gigitan nyamuk.


Bab 18.
Isu kubah surau telah dicetuskan oleh Pak Sahak, ketua kampung, Imam Sanusi dan seorang pemuda. Mereka ke rumah datuk untuk berbincang supaya masalah yang buntu ini dapat diselesaikan, jika tidak campur tangan Yang Berhormat diperlukan. Tetiba, Lili yang ternampak juluran ranting di jendela mendapati Danel memberi isyarat mengajak Lili menemaninya ke pekan untuk membeli minyak gamat, setelah mendapat kebenaran nenek. Mereka ke pekan menaiki bas kerana kereta Danel digunakan oleh abangnya. Semasa di dalam bas, Danel memberi alasan kenapa dia menulis artikel mengenai pisang.

Bab 19.
Sebelum pulang, Danel dan Lili singgah di restoran makanan segera untuk makan dua biji burger, kentang goreng dan minuman berkarbohidrat, ini boleh mengundang penyakit darah tinggi. Danel juga memberitahu, bahawa nenek Lili memang pandai memasak dan masakannya sungguh sedap. Dia juga selalu ke rumah nenek membantu nenek masak tanpa pengetahuan Lili. Menu masakan semuanya menggunakan pisang sebagai bahan campuran. Mereka singgah di pasar raya untuk membeli beberapa barang keperluan, seterusnya Lili merancang untuk singgah ke rumah Geetha. Setelah selesai mereka pulang menaiki bas seperti biasa, sehinggalah sampai menyusuri jalan ke kampung dan Danel mengekori sahaja Lili dari belakang. Sebaik sahaja sampai ke jalan besar yang berturap, kelihatan seorang budak lelaki dikejar oleh beberapa orang lelaki dengan suara yang memekik. Lili mengenali itulah anak-anak Che Jah yang sering menimbulkan masalah. Tiba-tiba tangan Lili dipulas, Danel tergamam kerana senjata tajam yang dipegang oleh Rafiq telah diacukan ke leher Lili. Sebaik sedar, Lili telah berada di tempat perculikan yang dilakukan oleh kedua-dua anak lelaki Che Jah.


Bab 20
Lili disembunyikan di sebuah rumah usang berlantaikan buluh. Danel telah datang menyelamatkan Lili pada waktu malam kerana Danel memang tahu tempat persembunyian Rafiq dan Haziq. Danel tidak memaklumkan kejadian itu kepada penduduk kampung atas alasan tertentu. Menurut Danel, Haziq satu sekolah dengannya dan merupakan seorang pelajar pintar. Namun, pergaulan bebasnya dengan  kutu-kutu rayau menyebabkan dirinya terperangkap dengan jenayah seperti mencuri, menagih dadah dan pecah rumah. Mereka juga sanggup melakukan kekerasan dan mengugut ibunya sendiri. Penduduk kampung sering menyumpah mereka dan berharap  agar mereka ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara. Sebaik-baik sahaja sampai ke rumah, nenek menyambut kepulangan Lili dengan tangisan kerana bimbang akan keselamatan cucunya. Sebenarnya, nenek tahu tentang kejadian yang menimpa Lili.

Bab 21
Lili berasa simpati tentang nasib malang Rafik dan Haziq kerana berpunca daripada masalah keluarga yang dihadapi oleh mereka. Sebaik sahaja berjumpa Danel, Lili terus bertanyakan khabar berita tentang nasib mereka dua beradik. Ketua kampung pula telah mengarahkan penduduk kampung merobohkan pondok tempat persembunyian mereka. Namun, Lili tetap berasa simpati dengan keadaan hidup malang yang menimpa Che Jah, Rafiq dan Haziq. Menerusi maklumat yang diperoleh daripada neneknya, banyak kejadian yang bersifat negatif dan menyedihkan menimpa mereka sekeluarga.  Oleh itu, Lili bercadang untuk berjumpa dengan Geetha untuk mendapatkan maklumat yang lebih telus dan bersifat terbuka. Bagi Lili, Rafiq dan Haziq merupakan manusia biasa yang memerlukan pertolongan dan perhatian semua pihak, bukan mengutuk dan menghina mereka secara berterusan. Lili memohon kebenaran untuk ke rumah Geetha, tetapi neneknya tidak membenarkannya atas faktor keselamatan.

Bab 22
Abang Rashid memberitahu Lili bahawa Haziq dan Rafiq telah ditangkap oleh penduduk kampung dan salah seorang daripadanya teruk dibelasah oleh ayah mereka. Lili bercadang ke rumah Che Jah untuk mengetahui keadaan yang sebenar dan kemudiannya merancang pergi ke pekan bersama dengan Abang Rashid. Sebaik-baik sahaja sampai ke rumah Che Jah, Lili disambut dan dipersilakan masuk ke dalam rumah. Che Jah menjelaskan bahawa Haziq teruk dibelasah dengan tali pinggang oleh ayahnya. Menurut cerita Che Jah lagi, Haziq semasa alam persekolahan dulu merupakan seorang pelajar yang pandai, tetapi telah dibuang sekolah kerana selalu ponteng dan melawan guru. Haziq menjadi nakal kerana bergaul bebas dengan budak-budak nakal sehingga perangainya tidak dapat dilentur. Che Jah memohon maaf kepada Lili tentang perkara yang dilakukan oleh anaknya terhadap Lili, tetapi Lili secara ikhlas telah memaafkannya. Che Jah memuji-muji kebaikan hati Lili yang sanggup datang menjenguk dan bertanya khabar. Che Jah mempelawa Lili untuk makan tengah hari di rumahnya tetapi dia tidak menolak pelawaan itu.

Bab 23
Nenek menegur Lili kerana mengambil tahu tentang hal keluarga orang lain. Nenek juga memberitahu bahawa orang kampung memang suka bermuka-muka. Kadang-kadang mereka boleh mengumpat hanya melalui jendela sahaja. Lili menghampiri datuk yang masih belum selesai dengan isu kubah surau dan herba-herba ubatan tradisionalnya. Seman iaitu suami Che Jah merupakan seorang bapa yang sangat garang. Seman bukan sahaja garang terhadap anak-anaknya tetapi juga terhadap orang lain yang berurusan dengannya. Kelakuan buruk Seman ialah dia suka berjudi, berhutang, menipu,  minum arak dan anak-anak serta isterinya akan menjadi mangsa kekejamannya. Lili melahirkan rasa tidak puas hatinya terhadap segala tindakan dan perbuatan Seman yang tersalah mendidik anak-anak dalam membina keluarga bahagia.

Bab 24
Menjelang waktu isyak, melalui jendela Lili ternampak sebuah lori membawa kubah, dan di puncaknya terdapat bulan sabit. Selepas jam sepuluh malam, barulah Lili mendapat berita daripada datuk bahawa kubah surau akan dipasang dalam masa terdekat. Kini isu kubah surau telah menjadi perbualan hangat dalam kalangan penduduk kampung. Abang Rashid lebih suka sebuah masjid didirikan di kampung tersebut sebagai tanda pembangunan. Begitu juga dengan Lili. Datuk pula tidak kisah sama ada kubah surau atau sebuah masjid yang dibina tetapi perkara yang penting ilmu-ilmu agama berjaya ditegakkan.


Bab 25
Menjelang pagi, Lili memberitahu nenek agar berada di luar, sama ada untuk melihat kubah surau atau bertemu dengan Che Jah. Nenek menasihati Lili agar dalam keadaan sebegini lebih selamat tidak berjumpa dengan sesiapapun. Mengikut nalurinya, pada hari ini Lili perlu berkomunikasi dengan seseorang. Danel datang membawa gulai kari pisang ikan masin yang dimasak sendiri dan menyampaikan suatu pesanan khas ayahnya kepada datuk. Berita kenaikan harga minyak petrol dan disel telah menenggelami isu kubah surau ketika ini. Di mana-mana sahaja semua penduduk akan membincangkan kenaikan harga bahan api tersebut dan mengeluh tentangnya. Begitu juga kenaikan harga barangan  lain termasuk perubatan. Datuk sempat memperli Danel, bahawa kos perubatan tradisional sahaja yang tidak naik. Lili ke rumah Che Jah untuk menziarahinya dan sempat melihat keuzuran Haziq yang belum sembuh akibat dibelasah oleh ayahnya. Che Jah begitu mesra melayan Lili. Jangkaan dan gambaran buruk perwatakan  Che Jah oleh nenek jauh berbeza. Lili memberitahu Che Jah bahawa dia akan kembali ke Kuala Lumpur seminggu lagi.
Bab 26
Lili berpendapat bahawa terdapat dua cadangan  yang perlu diketengahkan iaitu perlunya di bina sebuah masjid dan melaporkan jenayah yang dilakukan oleh Seman terhadap ahli-ahli keluarganya.kepada biro pengaduan Datuk menasihati Lili agar tidak memikirkan hal-hal yang berat tetapi  lebih memberi tumpuan untuk menghabiskan cuti persekolahannya Danel pula telah banyak membantu, seperti menyelamatkan nyawa, membawanya ke pekan dan dalam segala hal juga mereka bersependapat. Lili juga berpandangan bahawa tugas membangunkan kampung terletak di bawah tanggung jawab Danel sebagai penduduk tetap dan dia perlu memperjuangkannya.
Bab 27
Nenek bersuara janggal dengan mengatakan sesuatu sambil memanggil Abang Rashid. Abang Rashid pula tergesa-gesa menyediakan basikalnya untuk membawa nenek ke rumah Che Jah. Ada sesuatu perkara yang berlaku di sana sehingga menyebabkan nenek bergegas ke rumah Che Jah. Lili dan Danel juga segera ke rumah Che Jah tetapi masih belum pasti kejadian yang berlaku. 
Sebaik-baik sahaja sampai kedengaran tempikan seorang lelaki, pastinya Seman yang sedang berang. Terdapat beberapa orang di dalam rumah Che Jah ketika itu. Tiba-tiba seorang pemuda jatuh terhumban dari atas rumah, iaitu Haziq dengan keadaan tubuhnya berdarah. Seman yang naik angin dan dalam keadaan yang tidak siuman telah menerajang Haziq sehingga menyebabkan mulutnya berdarah. Tiada seorangpun yang berani meleraikan ketegangan itu Mereka hanya berani melihat peristiwa yang berlaku. Che Jah pula memekik sambil minta cerai kerana tidak sabar lagi dengan karenah suaminya yang sering bertindak melulu.
Bab 28
Che Jah belum berjaya menuntut cerai daripada suaminya. Suaminya iaitu Seman masih dengan perangai buruknya sebagai kaki judi, sering pulang lewat malam selain  sering memukul anak-anak dan isterinya. Seorang pesakit baru datang berubat dengan datuk kerana penyakit gout. Datuk meminta Lili mengambilkan sebotol herba untuk pesakit wanita tersebut dan menerangkan pantang larang tentang penyakit tersebut. Pesakit wanita tersebut bernama Puan Hamimah dalam usia tiga puluhan lebih selesa dengan panggilan Kak Mimah sanggup bermalam di rumah datuk kerana  berubat. Hasil perbualan dengan Lili, Kak Mimah bekerja sebagai penolong pegawai, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Bahagian Warga Tua dan Keluarga. Tugasnya berkaitan dengan keganasan rumah tangga, penganiayaan kanak-kanak dan pengabaian warga tua. Lili telah mengambil kesempatan dan peluang ini untuk membuat aduan terus kepada Kak Mimah dengan memanjangkan kes keluarga Che Jah untuk diambil tindakan oleh pihak berkuasa.
Bab 29
Kak Mimah bersetuju membantu Lili untuk menyelesaikan masalah keluarga yang dihadapi oleh Che Jah, yang akan diletakkan di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. 
Kak Mimah akan balik ke Kuala Lumpur dan akan membuat laporan berkaitan dengan kes tersebut manakala Lili pula akan menjadi saksi. Danel datang ke rumah ketika datuk dan nenek tiada di rumah. Lili bersembang dengan Danel  di pangkin sambil membincangkan pembinaan masjid dan bercadang untuk meengadakan pertemuan dengan penduduk kampung.

Bab 30
Danel mencadangkan pengumuman akan dibuat di surau untuk mengadakan pertemuan dengan penduduk kampung ketika majlis pernikahan anak pak busu pada hari Jumaat nanti. Danel dan Lili bercadang untuk bertemu dengan Geetha bagi memintanya menyelesaikan masalah keluarga Che Jah. Geetha bersetuju dan ingin bertemu dengan Che Jah terlebih dahulu. Mereka ke rumah Che Jah setelah mendapat kebenaran ibu Geetha, tetapi Che Jah tiada di rumah.

Bab 31
Danel juga berbangga kerana Geetha sanggup membantu dalam menyelesaikan masalah pembinaan masjid dan surau kampungnya. Mereka juga berbincang tentang bioteknologi berkaitan dengan madu lebah, kambing dan pokok vanila yang mampu memberi pulangan yang cukup lumayan. Kak Mimah telah menghubungi datuk. Selain membincangkan rawatan mereka juga menyentuh isu keganasan rumah tangga Che Jah. Lili tercengang dengan  keputusan datuk untuk mengambil tindakan terhadap suami Che Jah dan mengheretnya ke penjara. Mereka berbincang tentang cara untuk menangkap suami Che Jah dan menghukumnya mengikut lunas undang-undang.

Bab 32
Berita kubah dilarikan orang menjadi isu hangat ketika ini. Beberapa orang wanita mengesyaki angkara ini sudah pasti dilakukan oleh anak-anak Che Jah yang telah terkenal dengan kejahatan lampaunya. Lili menenangkan keadaan dan meminta agar mereka tidak membuat tuduhan melulu yang tiada kepastiannya. Datuk mengheret Rafiq dan Haziq ke halaman rumah, penduduk akan membelasah mereka dua beradik. Datuk meminta semua penduduk kampung berkumpul. Mereka lihat Rafiq dan Haziq dalam keadaan lesu dan badannya lebam-lebam akibat dibelasah. Datuk mencarikan herba untuk memulihkan mereka tetapi badan mereka langsung tidak bermaya. Badan Haziq lebam, manakala hidung Rafiq berdarah dan rebah di lantai rumah. Geetha memberitahu Danel, biarlah datuk yang menyelesaikan masalah masjid dan surau. Dia hanya ingin membantu menyelesaikan masalah keluarga Che Jah.

Bab 33
Kak Mimah dan rakannya Nadia muncul ketika datuk ingin mengadakan pertemuan di balai raya. Che Jah juga hadir sama tanpa dicari. Dia membuat pengakuan untuk dipanjangkan kepada pihak berkuasa. Suaminyalah yang telah melarikan kubah surau kampung, bukannya Rafiq dan Haziq. Che Jah berharap biarlah pihak berkuasa mengambil tindakan yang wajar supaya suaminya dihantar ke pusat pemulihan akidah. Menurut Kak Mimah, jika Che Jah membuat laporan polis, tindakan mahkamah boleh diambil, dan kes ini akan diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan mendapat bantuan daripada Jabatan Perlindungan Wanita dan Masyarakat bagi membiayai kos rawatan pemulihan akidah suaminya. Suami Che Jah berjaya ditangkap oleh penduduk kampung di belakang pondok dusun. Haziq diberi herba sebagai penawar, manakala Rafiq dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Bab 34
Sugi tidak mengaku terlibat dengan kemasukan dua orang wakil pemaju perumahan yang datang memujuk penduduk kampung agar menjualkan tanah mereka.Datuk pula dituduh cuba melindungi Che Jah yang terlibat melindunginya anak-anaknya daripada kes culik cucunya, Lili. Berpuluh-puluh pemuda kampung menunjuk perasaan di halaman rumah dengan menuduh datuk terlibat dengan pemaju perumahan. Datuk tidak ambil kisah kerana itu bukan urusannya. Sugi pula menjelaskan bahawa dia bukan bertujuan untuk membangunkan kampung dengan projek rumah kos rendah, tetapi ingin memajukan tanah-tanah penduduk kampung dengan projek agropolitan, penanaman Jatropha Cuncas dan selama ini semuanya tersalah anggap. Haziq semakin pulih daripada keletihan manakala Rafiq disahkan mengambil terlalu banyak dadah jenis syabu sehingga sistem tubuh badannya banyak yang rosak. Kak Mimah berjanji akan membantunya sehingga pulih.

Bab 35
Lili berasa puas hati apabila pendapatnya didengar oleh orang dewasa. Mereka akan membina masjid seperti yang disarankan. Datuk meminta Danel pulang setelah membantu datuk dan menghilangkan kerisauan ayahnya setelah sehari suntuk tidak pulang ke rumah. Haziq yang semakin sembuh juga meminta izin untuk pulang bagi melihat ibunya di rumah. Keesokan harinya, Geetha dan Danel mengajak Lili melihat matahari terbit.


Bab 36
Matahari terbit dapat disaksikan oleh Lili dan Geetha seawal pagi. Ibu tiba ke kampung dan akan membawa Lili ke Kuala Lumpur dan sempat untuk menghadiri majlis perpisahan pengetuanya. Datuknya, Haji Abdul Rahman menceritakan maksud yang tersembunyi tentang jendela menghadap jalan yang terlalu banyak kisah  silam iaitu dari zaman penjajahan hinggalah  zaman komunis. Neneknya iaitu Hajah Aisyah Tan Abdullah pula menceritakan kisah zaman silamnya yang berasal dari Tanah Besar China sehinggalah pertemuannya dengan datuk di Tanah Melayu.  Lili kerap berjumpa dengan Geetha di Kuala Lumpur dan meneruskan pelajarannya. Haziq dan Rafiq pula akan menduduki PMR pada tahun hadapan dan hidupnya telah banyak berubah. Danel berharap Lili akan kembali semula ke Kampung Sentosa dan berharap Lili telah mengetahui kisah tentang jendela menghadap jalan, manakala Danel pula banyak menulis artikel tentang pisang.

copy paste untuk dijadikan bahan rujukan dari blog : 

bab 1-19 ------>Tetamu Istimewa
bab 20- 36 ------>Cikgu Roosezah

Isnin, 8 Februari 2016

MY JOURNEY OF Latihan Mengajar

1st WEEK - part I


Alhamdulillah. Selesai seminggu aku berlatihan mengajar. So, tinggal lagi 14 minggu. Seminggu ke sekolah, seminggu cuti. Cuti Chinnese New Year. Bunyi macam best kan jadi cikgu. Sekolah cuti, cikgu cuti. Ye, memang betul perjalanan secara kasarnya macam tu. Nampak seronok, tetapi aku rasa kau perlu selami keadaannya yang sebenar. Yes. kau perlu.

Seminggu aku bergelar seorang cikgu praktikal. kehidupan aku ibarat berubah hampir 100%. Setiap hari hanya perlu memikirkan perjalanan untuk hari esok dan akan datang. setiap hari perlu ada perancangan untuk hari-hari yang bakal dilalui agar ia berjalan dengan lancar dan baik.

Hari pertama, perasaan bercampur baur. Gembira, takut, gementar, seriau, dan macam-macam lagi. Kadang2 aku confuse sama ada aku mampu ataupun tidak untuk menghadapi hari pertama aku. Aku bingung untuk membayangkan hari pertama aku di sekolah. Situasi aku apabila berhadapan dengan insan yang bergelar murid atau pelajar. Menangiskah aku? terkedu kah aku? gembirakah aku?

Hari pertama muncul. Tuhan sahaja yang tahu. Betapa aku menahan gentar. Subjek Bahasa Melayu tingkatan 4 menjadi medan peperangan pertama aku. Selangkah aku menghulurkan kaki ke bilik darjah itu. Murid2 memandang aneh ke wajah aku. Malah ada yang tidak menghiraukan aku. Dalam gentar, aku memperkenalkan diri serba sedikit. Kemudian, aku meminta mereka yang perkenalkan diri. Seorang demi seorang berlalu. Selesai sahaja sesi memperkenalkan diri, aku mulakan sesi PdP. Tatabahasa (membina ayat) menjadi salam pembuka bicara antara aku dan mereka pada hari tersebut. Mereka baik. Ada yang pemalu juga pendiam.Ada juga yang suka berborak. Namun, aku anggap itu sebagai lumrah hidup seorang remaja. Ya, remaja. Aku juga pernah melaluinya. Mulut tidak akan pernah tutup dan lekang dengan pelbagai topik. Walau sekecil-kecil hal,semuanya akan diperbahaskan dengan kawan2. Namun, aku lupa satu perkara pada hari itu. Aku lupa untuk menjadi seorang guru yang tegas. Aku masih menikus dengan mereka. Masih segan dan takut2 untuk bertegas dengan mereka. Namun, selepas aku keluar dari bilik kecil tersebut, jauh di sudut hati aku, aku berharap mereka akan menghormati aku sebagai pemberi ilmu kepada mereka dan akan menjadi muridku yang terbaik serta akan mencoret moment terindah sepanjang kami bersama.

Subjek kedua untuk aku hadapi ialah Sejarah. Berbeza sedikit sikap pelajarnya berbanding kelas untuk subjek Bahasa Melayu tadi. Pelajar kelas Sejarah agak pendiam  dan lebih pasif. Mereka tidak banyak bercakap, namun banyak mendengar dan memerhati.Mereka akan aktif apabila aku membuat sesi soal jawab. Mereka akan cuba untuk menjawab segala persoalan yang aku kemukakan. Sekiranya ada seorang atau dua orang yang aneh di dalam kelas, itu adalah perkara normal. Begitu juga dengan kelas mereka. Aku masih belum  rapat dengan mereka. Aku berharap akan dapat nenghasilkan proses pengajaran dan pembelajaran yang terbaik untuk mereka yang mana mampu menarik minat mereka akan dapat memahami segala isi pelajaran yang aku sampaikan.

Tekanan. Sepanjang seminggu bergelar cikgu praktikal, aku dapat merasakan tahap tekanan yang begitu ketara aku hadapi. Otak aku letih, badan aku penat. Walaupun aku hanya berhadapan dengan 11 waktu sahaja untuk seminggu, namun perubahan persekitaran yang berlaku dalam hidup aku memberikan aku satu kejutan budaya. Ya, budaya. Kejutan budaya kerja. Setiap hari aku perlu bangun pagi dan bertolak ke sekolah di saat jalan masih gelap dan sampai di sekolah sewaktu pagi masih hening dan dingin. Setiap hari aku perlu memerah otak untuk merancang pengajaran yang akan aku lakukan pada hari keesokan harinya. Setiap hari aku perlu berhadapan dengan ramai manusia yang pebagai ragam. Setiap hari aku akan tidur dengan lama selepas tamat waktu sekolah kerana fikiran yang sangat penat telah menjejaskan kekuatan fizikal aku. Aku bukan tidak suka dengan apa yang aku lalui, namun aku masih belum mampu untuk adaptasi suasana baru dalam hidup aku. Terutama suasana ini. Suasana kerja.